Friday 29 July 2011

Dakwah Tugas Siapa????/


"Dakwah? Diri sendiri pun tak betul, ada hati nak tegur orang lain? Aku tak mampu lagi la, tunggu la sikit masa lagi."
Sebagai khalifah Allah di muka bumi ini, setiap muslim secara langsung atau tidak, perlu saling nasihat menasihati dan berdakwah antara satu sama lain. Tanggungjawab itu sudah tercatat sedari loh mahfuz lagi. Kita bukan sesiapa untuk menidakkan tugas ini.
Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah Ayat 30:
"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat. Aku hendak menjadikan khalifah di bumi." mereka berkata, "Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memujiMu dan menyucikan namaMu?" Dia berfirman, "Sungguh, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."
Ramai diluar sana yang beranggapan seperti saya. Mungkin mereka tersilap faham akan konsep dakwah yang sebenar. Yelah, mana mungkin mahu berdakwah andai diri sendiri masih saja terumbang-ambing dengan keseronokan duniawi. Bagaimana mahu berdakwah kalau diri sendiri pun sekejap begitu sekejap begini. Namun sekarang,saya sedar bahawa dakwah itu tugas setiap manusia yang diutus menjadi khalifah di muka bumi Allah ini. Menurut tafsir Al-Quran, "Khalifah" pada ayat 30 ini bermaksud pengganti, pemimpin atau penguasa. Manusia diutuskan ke muka bumi ini untuk memimpin dalam mencapai keredhaanNya.
tugas dakwah memang berat. Saya akui kebenarannya. Untuk diri saya yang baru mula bertatih ini, sememangnya kerja-kerja dakwah itu tidak mudah. Kerana bukan semua mampu berfikir seperti mana yang kita fikirkan. Namun, itulah tugas seorang hamba Allah yang bernama Khalifah. Tugas seorang hamba Allah yang perlu sentiasa meningkatkan diri sendiri dan menarik sahabat-sahabat agar bersama-sama berdiri di atas landasan iman yang kukuh.
Seorang yang  berdakwah perlu mengamalkan cara dakwah yang bersifat 'Qudwah hasanah'iaitu Dakwah melalui tauladan yang baik. Sebagai contoh, kita hendaklah menunjukkan contoh yang baik melalui perbuatan kita sendiri. Salah satu contoh adalah senyum. Senyumlah kerana ia seindah suria. Melalui senyuman, lebih mudah dakwah kita akan diterima dan ukhuwah juga boleh terjalin.
Oleh kerana itu, senyumlah kepada sahabat handai dan saudara mara. Anda tidak akan rugi apa-apa hanya kerana anda senyum. Malah, anda akan bahagia. Namun, perlulah diingatkan, senyumlah pada yang berhak sahaja. Kepada para wanita muslimah senyumlah dengan penuh batasan. 
Selain itu kita perlu bercakap dan berdakwah secara lemah lembut. Akan tetapi lemah lembut yang dimaksudkan bukanlah bermakna bercakap dengan nada mendayu-dayu dengan bukan muhrim . Sekiranya perlu untuk bercakap dengan seseorang yang bukan muhrim, anda perlulah melembutkan cara percakapan tetapi perlu juga tegas menyampaikan mesej yang hendak disampaikan. Muslimah itu perlu mempunyai pendirian yang tegas dan bertutur dengan penuh hikmah.

Ayat 159 Surah Aali-'Imran:
"Maka berkat rahmat Allah, Engkau (Muhammad) berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya Engkau bersikap keras dan berhati kasar,tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu. Kerana itu maafkanlah mereka dan mohonkanlah ampunan untuk mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sungguh, Allah mencintai orang yang bertawakal."

Sahabat, kalau rasa lemah semangat untuk terus berjuang, renung-renungkanlah semula kisah nabi kita , Rasulullah s.a.w. Terlalu banyak rintangan dan dugaan yang baginda hadapi sehinggakan baginda pernah dilemparkan batu oleh kaum Quraisy sehingga terluka. Apalah sangat usaha kita hari ni berbanding kekasih Allah ini? Kuatkanlah semangat kalian!. Saya berharap agar kalian teruskan warisan Rasulullah s.a.w ini iaitu berdakwah ke jalan Allah. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bersabar! InsyaAllah.

2 comments:

qilaaa said...

assalamualaikum, tq atas postnya yang sangat membrikan semangat untuk berdakwah ke jalan Allah..

syedsafwan said...

salam, cuma ingin mencadangkan agar usaha utk mengumpulkan kembali peserta nadwah 2011 dengan mengadakan satu group fb.. lebih baik begitu..